17 April 2018 - 17:40
Kumpulan Penyiasat Dibenar Memasuki Douma

Sekumpulan penyiasat antarabangsa terdiri daripada pakar kimia yang tiba di Syria diberi kebenaran memasuki bandar Douma pada Rabu, lapor pihak Rusia.

Agensi Berita Ahlul Bait (ABNA24) - Sekumpulan penyiasat antarabangsa terdiri daripada pakar kimia yang tiba di Syria diberi kebenaran memasuki bandar Douma pada Rabu, lapor pihak Rusia.

Pakar kimia Pertubuhan Larangan Senjata Kimia (OPCW) berada di Syria sejak Sabtu lalu bagi menyiasat dakwaan serangan senjata kimia pada 7 April lalu yang meragut 60 nyawa.

Mereka dijangka mengumpul sampel tanah dan sampel lain yang berkaitan bagi mengenal pasti bahan yang digunakan dalam serangan.

Sementara itu, wakil AS ke OPCW melahirkan kebimbangan Rusia mungkin telah melawat tapak berkenaan dan cuba merosakkan bukti untuk menghalang siasatan.

Menteri Luar Rusia Sergei Lavrov bagaimanapun memberi jaminan pihaknya tidak melakukan hal sedemikian.

Berikutan serangan kimia terbabit, Amerika Syarikat, Britain dan Perancis menyasarkan lebih 100 peluru berpandu ke lokasi terpilih di Syria.

Tindak balas ketenteraan itu dilakukan bagi mewujudkan kekangan kukuh terhadap pengeluaran, pengedaran dan penggunaan senjata kimia.

Presiden Bashar al-Assad dan sekutu kuatnya Rusia menolak dakwaan berlakunya serangan senjata kimia dengan mengatakan ia sekadar rekaan puak pemberontak.- BBC